Dari genta-rasa
Juseru, apabila tiba saat diuji – detik perpisahan, kesedihan, kemiskinan, penghinaan, kesepian (namakan apa sahaja), jangan lari, tetapi hadapi. Walau pedih, sedih dan tersisih, jangan mengelak. Tunggu dan hadapi. Terima hakikat, jika hidup sudah terhenyak ke dasar yang paling bawah, jangan berpura-pura lagi. Jangan terus bermuka-muka. Namun, terimalah hakikat supaya mampu bangun kembali dengan cepat!
Bila sudah tiba di dasar paling bawah, kepala yang di julang sudah menjunam ke dalam jurang… tentu sudah tidak ada lagi tempat untuk jatuh. Maka pada ketika itulah peribadi akan naik semula ke atas kerana kita sudah membayar “yuran” pada kejayaan. Kita sudah merasa kepahitan pada ubat yang ditelan.
Saat diuji itulah segala mazmumah akan dimamah. Ego, bangga, rendah diri, kecil hati, kecut, penakut sudah “dibakar” dalam relau mehnah Allah. Dan saat itulah kita layak menerima anugerah. Yakni, bingkisan ijazah daripada “universiti mujahadah”. Tidak ada gelaran, tidak ada sanjungan… hadiahnya hanya: Hati emas!
Memburu selainnya hanya akan mengecewakan. Pergilah setinggi puncak karier, rebutlah setinggi nama, carilah sebanyak harta, tanpa hati emas, kau hanya akan meninggikan tempat jatuh. “Berjaya” tanpa keperibadian yang kukuh hanya mendedahkan diri kepada lebih banyak stres, tekanan dan kebosanan. Betapa ramai jutawan, hartawan, rupawan, bangsawan dan kenamaan dimusnahkan oleh rasa bongkak, obsesi diri, kemurungan dan zina. Naik ke puncak untuk terjun ke dasar yang paling bawah.
Tidak ada jalan dan ikhtiar lagi kecuali kembali kepada Allah. Perkukuh solat lima waktu dengan segala rawatibnya. Luangkan dan lapangkan masa dengan membaca Al Quran dan berselawat. Kurangkan makan dan kurangkan perkataan. Bercakap hanya yang baik atau diam. Uzlahkan diri jika terasa mata dan telinga terlalu liar untuk ditundukkan. Tersenyumlah dengan penghinaan. Redhalah dengan kesepian. Jangan takut kepada kelicikan, tipu-daya dan kezaliman. Hayatilah sebuah sabda, jika kita menjaga Allah, Allah akan menjaga kita. Tidak mengapa jika dipinggirkan, malah dilupakan… kerana selamanya orang lain tidak akan tahu, betapa lapang dan bahagianya apabila memiliki hati emas itu!

2 comments:
Saya dambakan hati emas. Insya Allah....
Thanks sharing..
Saya suka gaks tulisan ustaz pahrol ni.
Tersentuh hati membacanya...
Post a Comment