Selamat Menyambut Ramadan Al Mubarak . Maaf salah dan silap dalam penulisan
blog selama ini.
From forwarded email
Adab Makan Minum Cara Nabi
Oleh: Nadia Fariziana Binti Khalid
ABSTRAK
Manusia sebagai makhluk hidup yang tidak dapat dipisahkan dengan makan dan
minum dalam kehidupan seharian, adalah wajar dan sesuai sekali dengan
perutusan Nabi Muhammad S.A.W yang membawa panduan hidup iaitu Al-Quran dan
As-Sunnah untuk manusia di mana dengan As-Sunnah, Rasullullah S.A.W
mengajar kita bukan sahaja setakat memilih makanan tetapi juga cara dan
adab makan serta minumJadi keseluruhan cara makan dan minum wujud diantara
hubungan seseorang hamba dengan Allah SWT melalui bacaan-bacaan sebelum
makan dan minum yang membawa kita kepada akidah tauhid yang bersih lagi
unggul selepas menyebut nama Allah melalui bacaan basmallah. Manakala
selepas makan dan minum, seseorang muslim diajar bersyukur dengan
mengucapkan kata-kata yang bermaksud " Segala puji bagi Allah yang telah
memberi kami makan dan minum, dan Dia menjadikan kami orang-orang islam"
PENDAHULUAN
Sebagai pembawa rahmat kepada alam ini, Rasulullah SAW banyak mengajar kita
tentang cara hidup seharian yang berteraskan aqidah dan ibadah sejak kita
mula bangun dari tidur, masuk ke tandas, makan dan minum, memakai pakaian,
menaiki kenderaan, mula bekerja, pulang ke rumah dan tidur. Sukatan makan
dan minum yang menjadi panduan hidup umat islam adalah berasaskan sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud "Adalah kami para Nabi, kami tidaklah hidup
kenyang" Jadi cara Nabi SAW makan ialah baginda lebih dahulu berhenti
sebelum sampai tahap kekenyangan atau merasa puas. Semua ini mengambarkan
eratnya cinta dan kasih hamba kepada Tuhannya yang telah melimpahkan kurnia
dan nikmatNya yang tidak dapat dihitung sejak menjadikannya islam, memberi
rezeki dan mengajar adab dan hikmah. Jadi seseorang muslim yang patuh
kepada sunnah Rasulullah dapat menukar kebiasaan mereka menjadi ibadah
tidak seperti orang-orang yang lalai yang hanya tahu makan untuk memenuhi
selera dengan beraneka makanan tanpa mengikut perintah Allah SWT. Dia telah
berfirman " Dan makan dan minumlah kamu dan tetapi janganlah kamu
melampaui" (Al-A'raaf). Semoga penulisan esei ini dapat menjadikan makan
dan minum itu suatu ibadah yang mulia dan memperolehi pahala.
BAHAGIAN PERTAMA-CARA MAKAN
1. CARA SEBELUM MAKAN
MEMBASUH TANGAN
Menurut sabda Nabi SAW, baginda bersabda yang membawa maksud " Keberkatan
makanan itu ialah membasuh (tangan) sebelumnya (sebelum makan) dan membasuh
selepasnya"[Hadith Riwayat Abu Daud dan At-Tarmidzi]Maksud sabda
Rasullullah SAW ialah membasuh kedua belah tangan serta mulut daripada bau
daging yang busuk. Hikmah atau rahsia membasuh sebelum makan itu ialah
disebabkan keadaan makan selepas membasuh dua belah tangan itu menjadikan
makanan lebih sedap. Selain itu membasuh tangan ialah untuk menghilangkan
kekotoran supaya kita dalam keadaan bersih dan suci. Ada pendapat
menyatakan membasuh sebelum makan itu adalah satu tindakan untuk memuliakan
makanan agar ia berkembang dan bertambah. Hukum membasuh dua belah tangan
adalah tidak digalakkan tetapi bagi mereka yang berjunub hendaklah membasuh
tangan apabila hendak makan seperti yang dijelaskan melalui Hadith sumber
Sayyidah 'Aa'isyah r. 'anha yang bermaksud " Bahawa Rasulullah SAW apabila
beliau ingin tidur, sedangkan beliau berjunub, maka beliau
berwudhu'(seperti wudhu') untuk sembahyang;dan apabila beliau ingin makan,
maka beliau membasuh kedua tangan beliau (lebih dahulu)"Tapi sekiranya
tangan seseorang itu kotor, hendaklah dia membasuh tangannya dan jika
tidak, maka tidak perlulah dia membasuh
MEMBACA BISMILLAH
Menurut Hadith sumber Ummu Al-Mu'miniin 'Aa'isyah r. a yang menyatakan
Rasulullah bersabda yang membawa maksud " Apabila seseorang kamu hendak
makan sesuatu makanan hendaklah dia mengucapkan Bismillah"Sekiranya
seseorang terlupa membaca bismillah sebelum makan, dia hendaklah membaca
apabila dia teringat semasa sedang menjamah makanan iaitu bacaan yang
membawa maksud " Dengan (menyebut) nama Allah diawalnya dan (sampai)
diakhirnya". Lafaz ini berdasarkan Hadith yang sama yang bermaksud " Maka
jika dia terlupa menyebutkan nama Allah di awalnya, hendaklah dia
mengucapkan, Bismillahiawaaluhu wa aakhiruh"Menurut Jumhuur Al-Ulamaa',
membaca Basmalah sebelum makan adalah digalakkan dan bukan wajib. Tetapi
menurut dalil sahiih, hukum membaca basmalah adalah wajib sebelum makan.
Namun begitu, Basmalah itu wajib, kerana termasuk dalam umum DZIKRULLAH
yang dapat menolak syaitan ketika kita sedang makan.
BERKUMPUL SEWAKTU MAKAN
Kita digalakkan berkumpul sewaktu makan manurut cara yang dibenarkan Syarak
seperti tidak bercampur antara lelaki dan perempuan bukan mahram. Antara
faedah berkumpul sewaktu makan ialah untuk memperoleh keberkatan dariNya
dan juga memperoleh kecukupan seperti sabda Rasulullah yang bermaksud,
"Makanan (untuk) dua orang mencukupi tiga orang;makanan tiga orang
mencukupi 4 orang (bila ramai)"[Hadith Riwayat Al-Bukhari]Berdasarkan hadis
ini, sesuatu makanan itu akan menjadi cukup kerana keberkatan berkumpul
sewaktu makan dan setiap kali bertambah bilangan orang, bertambah pula
keberkatan. Justeru itu digalakkan berkumpul sewaktu makan.
2. CARA SEWAKTU MAKAN
MAKAN DENGAN TANGAN KANAN
Rasulullah SAW menyuruh orang yang makan supaya makan dengan tangan kanan
sebagaimana yang telah disebut dalam hadis yang terdahulu yang bermaksud
"…Dan makanlah dengan tangan kanan engkau"Ini merupakan suatu suruhan
daripada Rasulullah SAW dan suruhan ini bermaksud wajib dan tiada orang
yang dapat mengubahnya malah Rasulullah SAW telah menetapkan siapa yang
makan dan minum dengan tangan kiri adalah menyerupai syaitan seperti sabda
baginda yang bermaksud "Apabila salah seorang kamu makan, maka hendaklah
dia makan dengan tangan kanannya;dan apabila dia minum, maka hendaklah dia
minum dengan tangannya;kerana sungguhnya syaitan makan dengan tangan
kirinya dan minum dengan tangan kirinya"[Hadith Riwayat Muslim]. Suruhan
Rasulullah ini adalah sahih, jadi tidak halallah bagi seseorang itu makan
dengan tangan kiri melainkan bila dia tidak mampu disebabkan uzur.
MULA MAKAN DITEPIAN; TIDAK DI TENGAH
Sabda Rasulullah SAW yang membawa maksud " Apabila seseorang kamu makan
suatu makanan, maka janganlah dia mula makan makanan yang berada dipuncak
pinggan tetapi hendaklah dia memakan makanan daripada bahagian disebelah
bawahnya;kerana sungguhnya keberkatan itu turun daripada puncaknya
(kebawah)"[Hadith Riwayat Abu Daud]. Maksud sabda Rasulullah ialah
hendaklah kita makan makanan yang berada ditepi dan makanan yang berada
dekat dengan seseorang dahulu. Larangan ini cuma berlaku apabila seseorang
makan bersama orang lain. Jadi apabila seseorang ingin makan, dan dia
mengutamakan dirinya melebihi sahabat-sahabatnya, dia telah meninggalkan
adab dan akhlak yang baik. Apabila seseorang itu makan seorang diri, tidak
salah untuk dia makan dibahagian tengah.
CARA DUDUK SEMASA MAKAN
Semasa makan, Rasulullah SAW tidak makan secara bertongkat tangan. Menurut
Abu Juhaifar r. a, Rasulullah SAW bersabda, "Sungguhnya saya tidaklah makan
secara bertongkat tangan". Hukum bertongkat tangan adalah makruh atau lebih
baik meninggalkannya. Jadi, adalah lebih baik makan dalam cara duduk
berlutut dan menghulurkan kedua telapak kaki, atau mendirikan kaki kanan
dan duduk di atas kaki kiri. Terdapat beberapa factor terjadinya larangan
bertongkat tangan ini. Ia mengandungi dua rahsia. Pertama, duduk bertongkat
tangan ini merupakan perbuatan orang-orang yang membesarkan diri seperti
raja raja diluar Tanah Arab. Kedua, makan secara bertongkat tangan ini
membuatkan kita duduk dalam keadaan selesa. Akibatnya, kita akan makan
dengan lama dan berlebihan. Ini hanya akan memudaratkan kesihatan kita.
Selain itu makan secara bertongkat tangan akan menyebabkan perut menjadi
buncit. Makan bertongkat tangan juga menunjukkan kita tidak menghargai
makanan yang dihidangkan.
TIDAK MENCELA ATAU MENGAIBKAN MAKANAN
" Tiadalah sekali-kali Nabi SAW mengaibkan makanan (yang terhidang);jika
beliau berselera, beliau memakannya;dan jika beliau tidak ingin, beliau
meninggalkannya"[Hadith Riwayat Al-Bukhari]. Hadis ini menunjukkan peribadi
kekasih kita dan contoh ikutan kita. Baginda tidak sekali-kali mencela
makanan yang harus dimakan. Baginda hanya mencela makanan yang haram dan
makruh dimakan. Perbuatan mencela makanan adalah seperti menyatakan makanan
itu masin, tawar, masam dan amat pedas. Selalunya sebahagian besar kita
banyak mencela makanan ketika bulan Ramadhan. Mencela makanan juga termasuk
bagi mereka yang menyatakan makanan itu tidak mencukupi. Namun begitu
terdapat beberapa keadaaan dimana menkritik sesuatu makanan itu diharuskan
iaitu apabila seseorang mengkritik makanan untuk kebaikan masa depan.
Contohnya, si suami mengkritik makanan yang dimasak isteri terlalu masin
dan akan memudaratkan kesihatan untuk jangka masa panjang.
TIDAK BERNAFAS DALAM BEKAS MINUMAN
Menurut sumber Ibnu 'Abbaas r. a yang bermaksud " Sungguhnya Nabi SAW
melarang bernafas dalam bekas minum atau menghembuskan kedalamnya"[Hadith
Riwayat At-Tarmidzi]. Rasullullah melarang perlakuan ini kerana takut
keluar air liur orang yang bernafas jatuh dalam minuman. Ini akan
memudaratkan kesihatan orang yang meminum air dalam bekas itu sekiranya
orang yang minum sebelumnya sakit.
Sebahagian ulama berpendapat hukum bernafas dalam bekas minuman adalah
makruh namun ada juga sebahagian yang tidak kisah dan membiarkan sahaja
perlakuan ini terutamanya ketika makanan atau minuman itu dalam keadaan
panas. Disamping itu sebahagian orang berasa jijik terhadap perlakuan
bernafas dalam bekas air atau ke atas makanan. Manakala makan makanan dalam
keadaaan panas adalah bercanggah dengan sunnah Rasulullah SAW kerana
memudaratkan kesihatan.
3. CARA SESUDAH MAKAN
DIGALAK MENJILAT PINGGAN DAN JARI
Sesungguhnya Rasulullah saw telah menyuruh umatnya menjilat jari-jari dan
pinggan dimana beliau bersabda: " Sungguhnya kamu tidaklah mengetahui
(bahagian) manakah (makanan kamu) yang mengandungi keberkatan"[Hadith
Riwayat Muslim]. Rasulullah juga menyuruh umatnya agar menyapu makanan
dalam pinggan untuk dimakan. Ini kerana kita tidak tahu keberkatan makanan
itu terletak pada makanan yang telah dimakan atau yang terdapat pada
jari-jarinya ataupun makanan yang telah tertumpah. Jadi kita hendaklah
makan sehingga habis makanan itu untuk memperoleh keberkatan. Ada
dikalangan manusia yang rosak fikirannya. Mereka ini berpendapat perbuatan
menjilat jari adalah perbuatan yang mengaibkan dan kotor. Mereka tidak
menyedari bahawa mereka bukanlah golongan yang mewah yakni mereka yang
selalu kenyang.
LARANGAN BANGUN MENINGGALKAN MAKANAN SEHINGGA HIDANGAN DIANGKATKAN
Dalam suatu hadis, Rasulullah SAW bersabda yang membawa maksud " Apabila
telah dihidangkan suatu hidangan, maka janganlah seseorang bangun sehingga
diangkatkan hidangan;dan janganlah dia mengangkatkan tangannya (berhenti
makan) sekalipun dia sudah kenyang sehinggalah kumpulannya selesai
makan;dan hendaklah dia menunggu kumpulan itu;kerana sungguhnya seorang
lelaki itu akan merasa malu duduk lagi, maka dia akan berhenti makan;dan
barangkali dia masih perlu makan"[Hadith Riwayat Ibnu Maajah]. Walaupun
hadis ini dianggap remeh, tetapi pengertiannya adalah benar sekali kerana
sebahagian orang yang sudah makan ingin segera beredar dari hidangan namun
ada sebahagian yang ingin makan lagi. Tetapi disebabkan malu, mereka yang
belum selesai makan ini akan turut beredar. Oleh kerana itu kita hendaklah
bersimpati kepada golongan ini dan beredar setelah semuanya telah selesai
makan.
MEMBASUH KEDUA BELAH TANGAN
Hadith sumber Salmaan r. a bermaksud " Keberkatan makanan itu ialah
membasuh dua tangan sebelum dan sesudah makan". Hikmat membasuh tangan
selepas makan ialah untuk menghilangkan sisa-sisa makanan yang terlekat
pada kedua belah tangan dan juga mulut. Terdapat juga amaran Rasulullah
terhadap orang yang tidur tanpa membasuh dua belah tangan yang kotor dimana
baginda bersabda yang membawa maksud " Siapa tidur sedangkan di tangannya
terdapat daging busuk dan dia tidak membasuhnya;tiba-tiba dia dikenai
sesuatu, maka janganlah dia mencela melainkan keatas dirinya
sendiri"[Hadith Riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi]. Jadi sesiapa yang
terkena gangguan serangga atau jin, janganlah dia mencela dirinya kerana
itu adalah salah dirinya sendiri.
BAHAGIAN KEDUA-CARA MINUM
1. MINUM SECARA BERDIRI
Berdasarkan hadis sumber Muslim, Rasulullah SAW pernah melarang seorang
lelaki minum sambil berdiri dan baginda pernah menyuruh siapa yang terlupa
akan larangan itu hendaklah memuntahkan kembali air yang diminum. Namun
begitu hukum bagi perbuatan memuntahkan balik air yang diminum dikira
mengalakkan atau mustahabb. Jadi sekiranya seseorang itu terlupa untuk
duduk semasa minum, dia tidak perlu memuntahkan kembali air itu.
2. PEMBERI MINUM, MINUM TERAKHIR
Rasulullah SAW pernah bersabda yang membawa maksud "Sesungguhnya pemberi
minum kepada sesuatu kaum itu, dialah peminum yang terakhir" [Hadith
Riwayat Muslim]. Menurut hadis ini terdapa peraturan bagi peminum air dan
susu dan sebagainya dimana mereka yang membawa minuman atau makanan akan
menjadi orang terakhir yang minum dan makan untuk dirinya sendiri. Mereka
ini wajib mengutamakan kepentingan orang ramai melebihi diri sendiri.
3. HUKUM MINUM PADA BEKAS EMAS-PERAK
Rasulullah SAW telah melarang minum dalam bekas emas dan perak dan beginda
bersabda yang membawa maksud " Dia (keduanya) ialah untuk mereka (perhiasan
orang-orang Kafir) semasa didunia;dan untuk (perhiasan) kamu orang-orang
islam semasa di Akhirat" [Haadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]. Hukum
bagi sesiapa yang minum dalam bekas emas dan perak ini adalah haram.
Ilmuwan Islam juga berpendapat yang sama. Mereka yang minum dalam bekas
emas dan perak akan diseksa di Neraka seperti mana yang terkandung dalam
hadis riwayat Muslim. Jadi bagi orang islam yang berakal, kita hendaklah
menghalang perkara ini terjadi dikalangan umat islam kini yang ada
dikalangan mereka ini inginkan kemodenan mengikut arus Barat. Mereka ini
adalah orang-orang yang sesat kerana mengikut orang-orang yang sesat
daripada jalan Allah Ta'aala dan Sunnah (Perjalanan Hidup) Rasulullah SAW.
PENUTUP
Syukur ke hadrat ilahi kerana saya telah selesai menyiapkan tugasan esei
daripada buku bertajuk 'Adab Makan Minum Cara Nabi' yang ditulis oleh Ummu
'Abdillah dimana isi kandungan buku ini telah dialih bahasa oleh 'Abdullah
Al-Qari b. Hj. Salleh. Kandungan buku ini sangat menarik untuk diteladani
oleh setiap manusia dimana kita dapat mempelajari bahawa cara makan dan
minum kita juga boleh mempengaruhi kehidupan seharian. Melalui buku ini
kita dapat mempelajari bahawa makan dan minum juga mempunyai adab-adab yang
perlu dipatuhi dan bukan semata-mata untuk memenuhi selera dengan beraneka
jenis makanan. Semoga penghasilan esei ini dapat memberi manfaat kepada
pelajar agar menjaga adab dan tatasusila ketika makan dan minum seperti
yang diamalkan Rasulullah SAW.

No comments:
Post a Comment