Jul 12, 2012

Thursday Sharing

From a forwarded email

Assalamualaikum


Iman boleh teruji apabila terjadinya konflik antara suami dan isteri.
Dalam urusan rumah tangga, kehebatan seseorang sentiasa diuji apakah dia
layak untuk menjadi raja atau permaisuri di singgahsana hati pasangan
dan pada pandangan mata zuriat sebagai rakyat jelata, walaupun keduanya
mungkin berilmu, kuat berpegang kepada agama, bijak dan cukup
profesional dalam kerjaya.


Orang mukmin memandang ujian dengan pandangan positif, selagi mana ujian
itu tidak menjejaskan agamanya, maka tidak ada perkara perlu dirisaukan
kerana agama adalah kekuatan terakhir yang membentengi jiwa setiap
mukmin.


Jika tercabut agama akibat ujian, maka gelaplah masa depan dunia dan
akhirat. Gejala kemungkinan terfitnahnya iman kerana urusan rumah tangga
pernah disentuh dalam hadis Rasulullah SAW seperti pernah terjadi ke
atas rumah tangga puteri Rasulullah SAW, Fatimah dan Ali ketika Ali
bercadang mahu memadukan Fatimah dengan anak perempuan Abu Jahal.


Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Sesungguhnya Fatimah adalah
sebahagian diriku, dan aku tidak suka jika ada sesuatu yang
menyakitinya. Menurut suatu riwayat: Dan sesungguhnya aku khuatir jika
agamanya terfitnah, aku tidak mengharamkan sesuatu yang halal, tetapi
demi Allah, tidak akan berkumpul puteri Rasulullah dengan puteri musuh
Allah sama sekali. Lalu Ali membatalkan lamarannya." (Hadis riwayat
al-Bukhari dan Muslim)


Ramai suami dan isteri lupa bahawa mendirikan rumah tangga adalah suatu
wasilah untuk menjaga agama mereka daripada terfitnah. Tetapi sebaliknya
terjadi, ada disebabkan perkahwinan agama mereka menjadi rosak, iman
semakin surut dan tidak tercapai ketenangan jiwa yang menjadi matlamat
mendirikan rumah tangga.


Firman Allah bermaksud: "Dan di antara tanda kekuasaan-Nya ialah Dia
menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu
cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara
kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu
benar-benar terdapat tanda bagi kaum yang berfikir." (Surah al-Rum, ayat
21)


Ketenangan dalam rumah tangga hanya dapat diwujudkan dengan
merealisasikan prinsip keadilan, sentiasa meraikan cinta sebagai amal
salih dan menyatukan matlamat kehidupan suami dan isteri. Agama juga
tidak memaksa seseorang mempertahankan perkahwinan apabila tiada harapan
lagi untuk membina ketiga prinsip itu dalam alam perhubungan suami
isteri.


Hal itu pernah terjadi dalam rumah tangga anak angkat Baginda SAW, Zaid
bin Harithah yang berkahwin dengan seorang wanita terkemuka daripada
kalangan bangsa Quraisy, Zainab yang tidak mencintai Zaid atas sebab
tertentu, tetapi Baginda SAW menasihati Zaid supaya menahan Zainab
sebagai isteri sehingga turun teguran dari langit suruhan menceraikan
Zainab, kemudian Allah menguji Rasulullah SAW dengan suruhan menjadikan
Zainab sebagai Ummahatul Mukminin.


Allah berfirman bermaksud: "Dan (ingatlah), ketika kamu berkata kepada
orang yang Allah sudah melimpahkan nikmat kepadanya (Zaid bin Harithah)
dan kamu (juga) berbuat baik kepadanya (beliau diangkat oleh Rasulullah
sebagai anak): Tahanlah terus isterimu dan bertakwalah kepada Allah,
sedang kamu menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah akan
menyatakannya, dan kamu takut kepada manusia, sedang Allah yang lebih
berhak untuk kamu takuti. Maka tatkala Zaid mengakhiri keperluan
terhadap isterinya (menceraikannya), Kami kahwinkan kamu dengan dia
supaya tidak ada keberatan bagi orang mukmin untuk (mengahwini) isteri
anak angkat mereka, apabila anak angkat itu sudah menyelesaikan
keperluannya daripada isterinya dan adalah ketetapan Allah itu pasti
terjadi." (Surah Al-Ahzab, ayat 37)


Ayat ini secara langsung menegur sesiapa saja yang menyusahkan proses
perceraian yang halal di sisi Allah kerana memaksa lelaki dan wanita
untuk mempertahankan perkahwinan walaupun konflik terlalu kusut untuk
dileraikan, perbuatan ini nyata menjejaskan iman, agama dan masa depan
mereka.


Bahtera perkahwinan yang tidak menegakkan prinsip keadilan akan goyah,
tetapi tidaklah boleh meletakkan neraca keadilan itu mengikut akal
fikiran dan hawa nafsu manusia tanpa bimbingan wahyu dan sunnah
Rasulullah SAW.


Mengikut akal manusia, keadilan bererti sama rata dalam pembahagian hak
dan tanggungjawab. Maknanya jika suami bekerja dan isteri juga bekerja,
masing-masing mesti berkongsi memberi nafkah.


Tetapi wahyu menyatakan yang bertanggungjawab memberi nafkah hanya
suami, lalu orang lelaki berasakan perkara ini tidak adil kepada lelaki,
mereka mahu wanita juga mengeluarkan hartanya untuk nafkah keluarga.
Akhirnya ada suami mengambil kesempatan menggunakan harta isteri untuk
berkahwin baru.


Dalam hal kasih sayang dan khidmat layanan kepada pasangan, Islam sama
sekali tidak pernah merestui pemerintahan kuku besi dalam rumah tangga.
Isteri mengawal suami atau suami mengongkong isteri, kedua-duanya tidak
sesuai dengan prinsip keadilan Islam.


Isteri wajib taat kepada suami dan suami pula wajib menyayangi isteri.
Ramai suami yang mahu isteri memberi ketaatan seratus peratus, tetapi
dia tidak mampu menyayangi isteri seratus peratus. Begitu pula ramai
isteri yang mahu suami sayang tidak berbelah-bagi, tetapi mereka enggan
taat kepada suami.


Akhirnya suami menjadi liar dan isteri pula bertambah degil.
Sesungguhnya bertepuk sebelah tangan tidak akan melahirkan cinta yang
ikhlas. Mereka dituntut untuk pandai memberi dan reda menerima pasangan
secara adil tanpa diskriminasi dan eksploitasi terhadap pasangan. Hal
sebegini pernah dilalui Rasulullah SAW dan sahabat dalam kehidupan rumah
tangga mereka.


Keadilan yang saksama dalam rumah tangga mengikut bimbingan wahyu dan
sunnah Rasulullah SAW nyata memberi gambaran harmoni dalam kehidupan
suami dan isteri. Ada beberapa prinsip keadilan dikutip daripada ayat
Allah dan sunnah Nabi SAW.


Suami wajib berbuat baik kepada isteri seperti suruhan Allah yang
bermaksud: "Dan bergaullah dengan mereka secara makruf. Kemudian bila
kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana boleh jadi kamu
tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang
banyak." (Surah Al-Nisa, ayat 19)


Nabi SAW juga mengingatkan suami dalam hal ini seperti sabda Baginda SAW
yang bermaksud: "Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap
isterinya, dan aku adalah sebaik-baik lelaki kepada isteriku." (Hadis
riwayat Ibnu Majah)


Rasulullah SAW menyuruh suami melayan isteri dengan baik dan penuh kasih
sayang sehingga ke tahap menyuapkan makanan ke mulut isteri. Sabda
Baginda SAW bermaksud: "Dan sesungguhnya jika engkau memberi nafkah,
maka itu adalah sedekah, hinggakan setiap suapan yang kamu suapkan ke
mulut isterimu adalah sedekah." (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan
Muslim)


Rasulullah SAW pernah menyediakan kain yang empuk sebagai tepat duduk
isterinya di atas unta dan meletakkan lutut Baginda untuk isterinya,
Safiyyah ketika mahu naik ke atas unta. (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)


Isteri Rasulullah SAW, Aisyah menceritakan keadaan Rasulullah SAW di
rumah, beliau berkata: "Rasulullah SAW membantu pekerjaan keluarganya di
rumah." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)


Aisyah juga berkata: "Rasulullah SAW mencium seorang isterinya kemudian
pergi bersembahyang ke masjid." (Hadis riwayat al-Tirmizi)


Bukan hanya suami yang dituntut melayan dan menumpahkan kasih sayang
kepada isteri bahkan isteri pun wajib memberi layanan yang sama kepada
suami seperti dilakukan isteri Rasulullah SAW dan sahabatnya.


Menyikat rambut suami seperti dinyatakan Aisyah menjadi kebiasaan isteri
Nabi. Katanya: "Nabi SAW menghulurkan kepalanya dari masjid ketika
Baginda sedang beriktikaf lalu saya mencucinya. Dalam satu riwayat lain,
lalu saya menyikat rambutnya." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Kisah sahabat wanita, Ummu Sulaim yang amat cintakan suaminya dan
melayannya sebaik mungkin walaupun ketika itu bayi lelaki mereka baru
meninggal dunia. Dia tidak mahu suaminya terkejut dengan berita
kesedihan itu, dia merahsiakan dulu, dia melakukan sesuatu sehingga
suaminya tidur dalam keadaan puas dan tenang.


Dia menutupi berita kematian anak mereka dengan sebaik mungkin dan
berkata dengan penuh kelembutan kepada suaminya keesokan harinya: "Apa
pandanganmu jika suatu hari seseorang menitipkan hartanya kepada orang
lain dan selepas berlalu masa pemilik harta itu mahu mengambil kembali
harta dititipkannya kepada sahabatnya? Suaminya pun menjawab tanpa
mengesyaki sesuatu: "Dia berhak mengambil miliknya." Lalu Ummu Sulaim
menasihati suaminya: "Bersabarlah suamiku, sesungguhnya Allah sudah
mengambil anak lelaki kita."


Isteri dituntut untuk memberi keikhlasan ketika berkhidmat kepada suami.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Adalah kebahagiaan ialah memiliki
isteri yang solehah, jika engkau memandangnya ia menyenangkanmu. Jika
engkau meninggalkannya dia menjaga diri dan hartamu. Dan kecelakaanlah
mempunyai isteri jika engkau pandang mengecewakanmu, kata-katanya
menyakitimu dan jika engkau pergi dia tidak menjaga diri dan hartamu."
(Hadis riwayat Ibnu Hibban, dinilai sahih oleh al-Albani)


Setiap kali konflik rumah tangga terjadi, kebiasaannya semua pihak
mencari siapa bersalah, menyerang pasangannya dengan untaian keaiban
didedahkan. Tetapi hakikatnya, siapa yang melempar batu dalam rumah
tangganya, maka kepala dia sendiri akan berdarah.


Suami yang menghina isteri sebenarnya menghina dirinya sendiri, isteri
mengaibkan suami dengan sengaja, maka aibnya sendiri akan menjadi
tontonan orang ramai. Inilah perbuatan syaitan jantan dan betina kerana
punca keretakan adalah tidak pandai membahagi keadilan kepada jiwa
masing-masing.


Wassalam

3 comments:

ashra said...

Thanks sharing.
Betul..membina kebahagiaan rumahtangga tidak semudah meruntuhkannya kan..

Mudahan kita terrgolong dalam golongan yang berbahagia...

Unaizah said...

Sama-samalah kita berusaha menjadi isteri solehah.

Unknown said...

nukilan yang bermanfaat untuk renungan bersama..

Share/Bookmark
Blog Widget by LinkWithin